Eksperimen Keruntuhan tingkah laku

Dalam kajian 1962-nya, Calhoun menerangkan tingkah laku tikus seperti berikut:

Banyak [tikus betina] tidak dapat mengandung cukup bulan atau, jika mereka berjaya mengandung cukup bulan, hidup selepas melahirkan anak. Sebilangan besar, selepas berjaya melahirkan anak, gagal memenuhi tugas keibuan mereka dengan sempurna. Dalam kalangan jantan, gangguan tingkah laku mereka merangkumi perbuatan sumbang seksual hingga kanibalisme, dan merangkumi hiperaktif sehingga hendak gila hingga masalah mengasingkan diri, yang mana individu itu hanya akan muncul untuk makan, minum dan bergerak apabila ahli masyarakatnya yang lain sedang tidur. Organisasi masyarakat mereka juga menunjukkan gangguan. ...

Punca semua gangguan ini menjadi paling ketara di dalam populasi siri yang pertama antara tiga uji kaji kami, yang mana kami nampak satu perkembangan yang kami sebutkan sebagai "keruntuhan tingkah laku." Mereka berasak secara beramai-ramai di satu daripada empat kandang yang saling bersambung, tempat tikus-tikus tersebut dikurung. Sebanyak 60 daripada 80 ekor tikus dalam setiap populasi uji kaji akan berkumpul di dalam satu kandang semasa waktu makan. Tikus-tikus jarang sekali makan kecuali ditemani oleh tikus lain. Akibatnya, kepadatan populasi yang sangat tinggi terjadi di dalam kandang yang digunakan untuk makan, manakala kandang-kandang yang lain mempunyai populasi yang sangat rendah.

... Dalam uji kaji yang mengalami keruntuhan tingkah laku, kematian bayi mencapai sehingga 96 peratus dalam kumpulan yang paling ternanar dalam populasi mereka.[5]

Uji kaji terawal Calhoun dengan tikus dijalankan di tanah pertanian di Rockville, Maryland, bermula dari tahun 1947.[6]

Semasa Calhoun bekerja di Institut Kesihatan Mental Kebangsaan AS (NIMH) pada tahun 1954, beliau menjalankan pelbagai uji kaji dengan tikus dan mencit. Dalam ujian-ujian terawalnya, beliau meletakkan kira-kira 32 hingga 56 ekor tikus di dalam sebuah sangkar berukuran 3.0 m × 4.3 m di sebuah bangsal di Montgomery County. Beliau memisahkan ruang tersebut menjadi empat bilik. Setiap bilik direka khas untuk menampung sekitar dua belas ekor tikus Norway coklat dewasa. Tikus-tikus dapat bergerak dari bilik ke bilik menggunakan tanjakan. Kerana Calhoun membekalkan sumber keperluan seperti air, makanan tanpa had dan perlindungan daripada pemangsa serta penyakit dan cuaca, tikus-tikus tersebut dikatakan berada di dalam "utopia tikus" atau "syurga mencit", jelas seorang ahli psikologi lain.[7]

Selepas uji kaji awalnya dengan tikus, Calhoun kemudian mencipta "Persekitaran Penghambat Kematian untuk Mencit" pada 1968: sebuah sangkar mencit berukuran 260 cm × 260 cm dengan makanan dan air yang selalu diisi semula untuk menyokong pertambahan populasi,[8] membantu eksperimen beliau untuk mencapai takat ekstrem. Dalam uji kajinya yang paling terkenal antara semua siri, "Alam Semesta 25", populasi memuncak ke 2200 ekor mencit dan selepas itu menunjukkan pelbagai tingkah laku yang tidak normal, malah bersifat perosak, seperti keengganan untuk memikat pasangan, betina meninggalkan anak, dan kehomoseksualan. Pada hari ke-600, populasi itu sedang menuju kepupusan. Walaupun boleh membiak dari segi fizikal, mencit-mencit itu telah hilang kemahiran sosial yang diperlukan untuk mengawan.[6]

Rencana Scientific American tahun 1962 beliau diterbitkan sewaktu isu kesesakan penduduk menjadi fokus khalayak awam dan mempunyai pengaruh budaya yang besar.[9]

Calhoun telah membahasakan kajian beliau dalam bahasa mudah dan membandingkannya dengan perilaku manusia, supaya ia mudah difahami oleh orang biasa dan mudah diakses oleh orang awam.[6]

Calhoun bersara daripada NIMH pada tahun 1984 tetapi terus mengusahakan hasil penyelidikan beliau sehingga beliau meninggal dunia pada 7 September 1995.[10]

Rujukan

WikiPedia: Keruntuhan tingkah laku https://www.gwern.net/docs/sociology/1962-calhoun.... https://web.archive.org/web/20191121215538/https:/... https://doi.org/10.1038%2Fscientificamerican0262-1... https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/13875732 https://archive.org/details/fortystudiesthat00hock... https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC15017... https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/18730425 http://www.cabinetmagazine.org/issues/42/wiles.php https://web.archive.org/web/20200215182949/http://... http://nihrecord.od.nih.gov/newsletters/2008/07_25...